Blogger Layouts

Thursday, April 7, 2011

Rindu pada sahabat...(",)

Sahabat….

Apabila menyebut perkataan ini saya akan membayangkan wajah-wajah yang telah menghiasi kehidupan seorang insan dhaif ini. Sahabat itu digandingkan dengan satu perhubungan yang Allah kurniakan iaitu hubungan persahabatan. Sepanjang kehidupan ini, saya hanya menginginkan sahabat yang mencintai dan memahami diri ini. Tapi tidak pulak saya memikirkan adakah saya sendiri layak untuk mendapatkan sahabat yang terbaik seperti itu?

Maka ketika memikirkan, saya terimbau kembali kata-kata dan perbuatan yang pernah saya hiasi di dalam perhubungan yang bernama sahabat. Lantas saya menyedari bahawa saya bukanlah insan sempurna untuk memiliki sahabat-sahabat yang sempurna seperti anda semua. Saya hanyalah insan dhaif yang sentiasa mempunyai kelemahan dan kekurangan yang kadang-kadang tidak pernah disedari oleh diri sendiri.

Sahabat-sahabat ku….

Sebenarnya inginku menulis sebuah surat kepada kalian meluahkan segala isi hati, menceritakan segala masalah yang dihadapi dan ingin mendengar setiap pujukan yang ikhlas terbit dari hati. Namun apakan daya, hanya diri ini mampu meluahkannya di sini. Sahabat, fahamilah…diri ini sering melakukan kesilapan, sering ingin memperbaiki diri, namun tidak pernah tetap dalam kata-kata. Saya hanyalah sahabat yang serba kekurangan dari segala segi. Setiap sifat dan tingkah laku yang ada, saya merasa saya amat memerlukan bimbingan dan teguran daripada anda.

Allah mengurniakan sahabat kerana inginkan banyak hikmah buat hambaNya. Mungkin sahabat dicipta sebagai pendokong dan penyokong ketika diri dalam kelemahan, menjadi teman di kala diri ingin berkongsi keriangan, menjadi cermin dalam segala perbuatan. Jadilah untukku wahai sahabat, cermin yang memantulkan segala yang tersembunyi dalam diri ini, cermin yang bersih dari segala kekotoran. Cermin yang sentiasa bersama-sama dalam setiap masa dan setiap waktu.

Maafkan saya sahabat….di atas segala ketidak sopanan dalam persahabatan dan juga maaf di atas segala tindakan serta kata-kata yang mengecewakan dan menyakitkan. Ketahuilah,,,,sayangnya diri ini kepada kalian, seumpama sayangnya diri ini kepada dirinya sendiri….. Moga Allah mengurniakan nikmat persahabatan keranaNya kepada kita yang menjadi asbab kepada redha Allah kepada kita semua……ukhuwwah fiLLAh…amin.......

No comments:

Post a Comment